28 JAN. - Legenda badminton negara, Datuk Eddy Choong meninggal dunia di sebuah hospital swasta pukul 3 petang.
6 FEB. - Pelakon dan pelawak veteran, Datuk Yahya Sulong, 85, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada pukul 6.45 petang selepas koma akibat terjatuh di bilik air rumahnya di Bandar Baru Sentul.
16 FEB. - Pelakon veteran, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 75, yang popular dengan filem lakonannya bersama Allahyarham P. Ramlee, Antara Dua Darjat meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 5.07 petang kerana penyakit buah pinggang dan kanser usus yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.
1 MAC - Dua anggota komando VAT 69 Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, maut ditembak di kepala oleh pengganas Sulu yang berpura-pura menyerah diri dengan mengangkat bendera putih di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
2 MAC - Enam anggota polis, Supritendan Ibrahim Lebar, Asisten Supritendan Micheal Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Aziz Sarikun, Koperal Salam Togiron dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran maut akibat diperlakukan dengan kejam selepas diserang hendap oleh Pengganas Sulu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna.
5 MAC - Presiden Venezuela, Hugo Chavez meninggal dunia selepas dua tahun bertarung dengan kanser sekali gus menamatkan pemerintahannya yang penuh kontroversi selama 14 tahun.
25 MAC - Tokoh Maal Hijrah 2005, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) akibat sakit jantung.
12 APRIL - Salah seorang tokoh dan pengasas penubuhan UMNO, Datuk Paduka Fatimah Abdul Majid, 94, yang juga wanita pertama menjadi wakil rakyat di Johor pada 1959, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 10 pagi kerana sakit tua.
19 APRIL - Veteran UMNO yang juga wanita pertama dilantik sebagai Senator, Tan Sri Aishah Ghani, 90, meninggal dunia di Hospital Gleneages pada pukul 12.50 tengah hari kerana sakit tua.
28 MEI - bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang pertama, Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, 84 meninggal dunia akibat sakit tua.
4 JUN - Pelakon komedi terkenal era 1950-an, S. Shamsuddin atau nama sebenar, Dali Kechik, meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri di kediamannya di Singapura pada pukul 10.56 pagi.
9 JUN - Seniwati filem Melayu, Latifah Omar menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.19 petang di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat penyakit usus.
1 JULAI - Tokoh akademik dan sasterawan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh, 79, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3 pagi akibat komplikasi paru-paru di Hospital Putrajaya selepas menderita penyakit kencing manis dan angin ahmar sejak lapan tahun lalu.
13 JULAI - Pelakon siri televisyen muzikal popular Glee, Cory Monteith ditemui meninggal dunia dipercayai akibat pengambilan alkohol dan bahan terlarang yang berlebihan.
24 JULAI - Pelakon veteran, Datin Umi Kathum yang juga isteri kepada pelakon veteran Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan ibu penyanyi Noor Kumalasari meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah anak sulungnya di Saujana Melawati akibat sakit tua.
1 OGOS - Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kilometer 10.9, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Taman Mayang, Petaling Jaya.
4 OGOS - Pelakon tahun 1980-an, Rosnah Mohd. Noor meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah tulang pada usia 54 tahun di Wad Onkologi, Hospital Kuala Lumpur kira-kira pada pukul 2.30 petang.
8 OGOS - Bekas atlet olahraga dan jurulatih kebangsaan, Ishtiaq Mubarak meninggal dunia pada pukul 9.55 pagi di kediamannya di Taman Zooview, Hulu Kelang.
23 OGOS- Seorang anggota pasukan Batalion Malaysia 5 (Malbatt 5) Sarjan Rosdi Mohamad Zan, 32, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).
7 SEPT. - Pelakon senior, Maimon Abdul Muttalib yang menghidap kanser payu dara tahap empat, meninggal dunia selepas dua tahun berperang dengan penyakit itu.
26 SEPT. - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas dilaporkan kritikal susulan masalah jantung yang serius.
13 OKT. - Bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang pertama, Prof. Datuk Radin Umar Radin Sohadi, 53, meninggal dunia di Hospital Serdang akibat kegagalan fungsi hati.
22 OKT. - Pelakon dan penyanyi terkenal era 80-an, Noreen Noor meninggal dunia pada pukul 5.40 pagi di Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi buah pinggang.
10 NOV. - Pelakon, Ahmad Busu, 60, pelakon komedi yang terkenal melalui watak Mat Deris dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu meninggal dunia selepas Maghrib di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor akibat strok.
30 NOV. - Pelakon Paul Walker, 40, yang terkenal dengan filem âThe Fast and the Furiousâ maut akibat kemalangan jalan raya di Santa Clarita, utara Los Angeles, Amerika Syarikat selepas kereta Porsche GT yang dinaiki dalam perjalanan untuk aktiviti amal membantu mangsa taufan Filipina meletup dan terbakar.
5 DIS. - Tokoh anti Aparteid, Nelson Mandela meninggal dunia di Johannesburg pada usia 95 tahun.
17 DIS. - Seniwati, Azean Irdawaty, 63, yang menderita penyakit barah meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pukul 8.25 malam. Allahyarham menderita sejak lapan tahun lalu akibat penyakit tumor dan lymphedema.
TAHUN 2013 menyaksikan ramai tokoh-tokoh terkemuka tanah air dalam segenap lapangan menghembuskan nafas terakhir sekali gus meninggalkan nama, jasa dan pengorbanan mereka untuk dikenang dalam lipatan sejarah negara.
Pemergian mereka sama ada kerana menderita akibat penyakit tertentu atau kematian mengejut disebabkan kemalangan serta bencana merupakan kehilangan yang cukup dirasai serta tiada galang ganti.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131231/hi_04/Hilang-tidak-berganti#ixzz2pCu3Nnk9
© Utusan Melayu (M) Bhd
xoxo !
Labels: awkawardd, boredddtodeathh, class, craps, knowledge, lamers, Malaysia, me, myself